Sunday, 21 February 2016

Kaunseling

Guru Bimbingan dan Kaunseling memainkan peranan yang amat penting dalam usaha menjayakan agenda pembangunan insan. Guru Bimbingan dan Kaunseling merupakan pembimbing, pemegang amanah ibu bapa untuk mendidik anak-anak dan penggerak pembangunan kemajuan sekolah. Mereka seharusnya dilihat sebagai satu kerjaya mulia. Dalam usaha melahirkan murid yang cemerlang secara total, ianya tidak akan berjaya sekiranya tidak disokong dengan kesungguhan Guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah rendah menjalankan tugas yang telah diamanahkan.
Tanngungjawab sebagai seorang guru adalah melahirkan generasi yang berilmu, mempunyai akhlak yang mulia dan mampu memberi sumbangan yang positif kepada keluarga, masyarakat dan negara. Oleh itu, Guru Bimbingan dan Kaunseling perlu memainkan peranan yang sewajarnya dalam usaha mencapai kecemerlangan agar transformasi sosial yang kita inginkan menjadi kenyataan. Kemajuan sesebuah negara bukan sahaja didorong oleh masyarakat yang berilmu dan berpendidikan tinggi tetapi merangkumi keseluruhan pembangunan sahsiah setiap individu.. Hasrat untuk melahirkan insan yang mempunyai keseimbangan dari segi JERI seperti mana dalam falsafah pendidikan boleh dicapai sekiranya Guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah rendah komited, berdedikasi dan bersungguh-sungguh menjalankan tugas dan bersedia melaksanakan perubahan.
Baik di sekolah menengah mahu pun di sekolah rendah panggilan untuk guru ini ada pelbagai seperti guru kaunseling, kaunselor dan sebagainya. Kementerian Pelajaran telah menyelaraskan dari segi panggilan ini sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa. Melalui surat-surat pemberitahuan, Kementerian telah menjelaskan nama dan tugas serta peranan sebenar guru bimbingan dan kaunseling.
Tugas Guru Bimbingan dan Kaunseling adalah memberikan perkhidmatan secara sepenuh masa dalam bidang bimbingan dan kaunseling di sekolah seperti mana guru-guru matapelajaran yang lain. Guru matapelajaran lain mengajar subjek masing-masing dan dalam Guru Bimbingan dan Kaunseling mereka sepatutnya secara sepenuh masa menjalankan tugas mereka membimbing dan kaunseling murid-murid. Antara tugas dan tanggungjawab mereka adalah menjalan perkhidmatan kaunseling individu dan kelompok, kerjaya, akademik, psikososial, kesejahteraan mental, keibubapaan, pembangunan diri murid, pendidikan pencegahan dadah-rokok-HIV-AIDS serta pengurusan dan kaunseling.
Salah satu perkara yang sering menjadi isu dan salah tafsiran adalah waktu bertugas Guru Bimbingan dan Kaunseling, ada yang berpendapat termasuk sebilangan Guru Besar, mereka bertugas mengikut waktu pejabat tetapi hakikatnya seperti mana dalam surat-surat pekeliling dan lain-lain yang dikeluarkan oleh kementerian, waktu bertugas Guru Bimbingan dan Kaunseling adalah seperti mana guru-guru biasa yang lain. Perkara ini terjadi berkemugkinan kerana gelaran mereka sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa. Salah tafsiran perkataan sepenuh masa itu yang menyebabkan ramai menganggap mereka bertugas sepenuh masa seperti pegawai-pegawai yang bertugas waktu pejabat.
Satu lagi isu yang sering berlaku adalah Guru Bimbingan dan Kaunseling diberikan jadual waktu mengajar mata pelajaran yang mana perkara ini telah ditegaskan oleh Kementerian bahawa guru-guru ini tidak sepatutnya diberikan waktu mengajar. Jika guru mata pelajaran mengajar subjek seperti matematik, maka Guru Bimbingan dan Kaunseling “mengajar” atau dalam ertikata lain membimbing dan kaunseling murid-murid sepenuh masa. Dalam hal ini pentadbir sekolah khasnya Guru Besar harus faham dan jelas akan arahan Kementerian dan akur dengannya kerana peranan Guru Bimbingan dan Kaunseling adalah untuk memberi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang mantap, berterusan dan sentiasa tersedia untuk murid-murid dan melalui perkhidmatan inilah sangat diharapkan memberi sumbangan ke arah kemajuan serta kesejahteraan sekolah. Sebilangan Guru Besar yang tiada pendedahan akan perkara ini biasanya akan salah tafsir akan waktu bertugas dan tugas sebenar guru-guru ini yang menyebabkan mereka diberikan waktu mengajar.
Kesimpulannya, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Jabatan Pelajaran Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah harus peka akan perkara ini. Guru Besar yang baru dilantik harus diberi pendedahan akan perkara ini, dan tidak boleh menggangap mereka semua sepatutnya tahu kerana mereka dulu adalah guru. Pendedahan peranan dan tugas Guru Bimbingan dan Kaunseling kepada pentadbir sekolah amat penting kerana tanpa pendedahan seringkali berlaku konflik antara pentadbir dan Guru Bimbingan dan Kaunseling. Jika konflik ini berlaku sudah pasti hasrat kementerian akan gagal. Di sesebuah sekolah, hubungan erat antara Guru Besar dan Guru Bimbingan dan Kaunseling amat penting dalam melaksanakan agenda ke arah melahirkan murid-murid yang cemerlang, bukan sahaja dari segi akademik malah dalam semua aspek.

No comments:

Post a Comment